Sekadar gambar hiasan. Storyboard kisah Kucing dan seekor burung.
Karya: Najmi 3 tahun 6 bulan
Zaman dulukala, peri dikhabarkan orang terdapat seorang sultan yang sungguh baik lagi mulia hatinya. Demikian lumrah, baik pemerintah maka baiklah juga sekelian hamba rakyat jelata. Rajin sultan maka rajin berkali gandalah pula para rakyat di bawah naungan pemerintahannya. Sehingga tiba suatu ketika, datanglah rasa gundah dan gulana dalam hati baginda sultan. Terdetik pula hatinya ingin mengetahui perihal sifat malas. Difikir benaknya, tidakkah malas dan rajin itu berpasangan sifatnya? Maka jika demikian, tentulah dalam ramai-ramai hamba rakyatnya yang rajin itu, tentu juga terdapat hamba rakyatnya yang bersikap malas.
Maka suatu hari diseru berkumpul semua rakyatnya bagaikan suatu pesta. Berduyun-duyun datangnya rakyat tanpa ada yang berkecuali. Semua sekali tetap diam berdiri menanti akan peri titah daripada baginda sultan. Masing-masing dengan teka-teki di dalam hati, gerangan apa diri dipanggil mengadap berduyun-duyun banyaknya.
Tiba masa baginda sultan bertitah akan satu pertanyaan. Gerangan siapakah di antara sekelian rakyat baginda itu yang paling malas, akan baginda sultan hadiahkan tujuh persalinan beserta dengan hidangan tujuh dulang bagi dimakan selama tujuh hari juga adanya. Maka berebut-rebutlah sekelian rakyat mengadu akan sifat malas masing-masing.
Yang pertama dengan lantang mengaku kemalasannya bahawa hari-hari dia sangat rajin bekerja cuma dirinya sangat malas untuk menjamah makanan. Yang ke dua lantas menyanggah, perihal dirinya lebih malas daripada yang pertama. Katanya, dia sudahlah malas bekerja, nak makan pun malas dia nak menyuap hinggakan terpaksa meminta pertolongan orang lain untuk menyuap makanan ke mulutnya. Baginda sultan tersenyum mendengar peri kemalasan rakyatnya itu lantas bertanya pula jika ada yang lebih malas daripada itu. Maka muncul yang ke tiga. Katanya dia lebih malas daripada semua itu. Malas kerja, malas makan, malah, nak mengunyah makanan dalam mulutnya pun dia malas juga. Hinggakan terpaksa meminta orang lain mengunyahkan makanan bagi pihaknya, lalu disuap ke dalam mulutnya itu. Kali ini baginda sultan ketawa girang sambil bertanya pula jika ada yang lebih malas daripada itu.
Maka kemudiannya, muncul pula yang ke empat. Katanya "Patik lebih malas daripada mereka semua itu, dan patik rasa tidaklah ada yang lebih malas daripada patik. Maka sediakanlah sahaja peri hadiah tuanku itu untuk patik bawa pulang dan rayakan bersama-sama seluruh penduduk desa patik" Baginda Sultan lalu bertitah " Tidak mengapa. Tidak lari gunung dikejar. Jika benar tiada yang lebih malas daripada kamu, hadiah yang beta janjikan kekal milik kamu. Ceritakanlah perihal malas kamu itu supaya semua orang di sini dapat mendengarnya" Maka dia menjawab, " Patik nak cerita pun malas ..."
....dan aku., malas nak menulis. Sebab tu dah lama takda entry baru. Heh!Animator pulak, kalau malas nak melukis, 'pinjam' je scene yang animator lain lukis yang agak lebih kurang je dengan tugasan kita. Kalau kena reject, sama-sama lah kena. Keh keh keh.