Saturday, January 22, 2011

Keluang Man Sepintas Lalu, Sepanjang Jalan Kenangan

Watak Keluang Man ini diilhamkan oleh sekumpulan karyawan animasi pada tahun 1996 yang mengimpikan kehadiran Superhero Kebangsaan pada ketika itu. Keluang Man cuba lari dari konsep stereotaip cerita superhero sedia ada. Ia menampilkan watak hero yang bersahaja dan tidak ada 'Kuasa Hebat' melainkan panduan naluri dan kejujuran. Ia diterbitkan oleh UAS Animation Studios (M) Sdn­ Bhd. Pengarah animasi, Encik Kamn Ismail yang sebelum itu pernah mengarah animasi Usop Sontorian berjaya menampilkan sebuah animasi yang menjadi satu fenomena dalam negara ketika itu. Encik Kamn bersama 37 orang tenaga produksi tempatan yang kurang pengalaman dan pengetahuan khusus dalam bidang animasi, berjaya menampilkan sebuah karya eksperimen yang mengagumkan.

Ilustrasi konsep animasi Keluang Man oleh Azizi Amsam - Jun 1997

Watak superhero yang bersahaja dan sedikit 'gila' itu tiba-tiba menjadi buah mulut masyarakat walaupun dihasilkan menggunakan aplikasi animasi yang agak ketinggalan. Namun, jalan cerita dan konsep penceritaannya yang unik, yakni mengangkat tema kehidupan pesakit mental; mampu memberi kepuasan kepada penonton serta mudah dihayati. Tanpa sedar, siri animasi Keluang Man merupakan animasi tempatan pertama yang menggabungkan animasi 2D dengan latar belakang 3D. Kesukaran menghasilkan gerak animasi dan gerak kamera dalam animasi yang lebih menarik pada masa itu, membuatkan Encik Kamn mencuba kaedah gabungan tersebut. Walau tidak begitu kemas dan kadangkala menampakkan keganjilan dalam sesetengah babak, team produksi Keluang Man patut mendapat pujian kerana kesungguhan dan semangat bagi menghasilkan sesuatu yang di luar dugaan.

Krisis kegawatan ekonomi pada 1997-1998 memberi kesan yang agak ketara kepada seluruh warga penerbitan Keluang Man. Akhirnya, setelah lebih tiga tahun bersama masyarakat, siri Keluang Man terpaksa dihentikan dan para karyawannya berhijrah ke produksi-produksi animasi lain bagi meneruskan kesinambungan dalam kerjaya masing-masing.

Kini, Homework Studio membawa watak superhero pujaan tersebut kembali ke persada tanah air. Walaupun Keluang Man buat masa ini didatangkan dalam bentuk majalah, yakni medium yang berlainan sedikit daripada animasi, diharapkan usaha ini mampu meredakan kerinduan yang bersarang dalam hati masyarakat selama lebih 10 tahun.

Fakta Ringkas:

i) Konsep, tema, watak animas dan rekabentuk penerbitan animasi Keluang Man telah dihasilkan bersama oleh En Kamn Ismail, Raja Zaharuddin Shah, Azizi Amsam, Amir Hamzah Hashim, Azhar Saad & Wan Ayumi Wan Yusof.

ii) Rekaan Watak Animasi Keluang Man telah dibangun dan diperkemas oleh Raja Zaharuddin Shah Raja Chik pada Jun 1997.

iii) Siri ini secara rasmi dimulakan penerbitannya pada 1 Jun 1997 dengan karyawan asal : Kamn Ismail, Wan Ayumi, Raja Zaharuddin Shah, Amir Hamzah Hashim, Ahar Saad, Azizi Amsam, Zawawi Zaid, Anes Wardati, Hafidz Abu Hasan, Asmawi, Nor Hairil Azwa, Karim Wahab, Asro Zainudin, Norhazana, Arifin Sharif, Azman Wahab dan dibantu oleh Siti Zaharah serta Makcik Ramlah.

iv) Sebelum memulakan penerbitan, satu kajian telah dilakukan berkaitan dengan suasana kehidupan dan perwatakan 'Tetamu' di Taman Bahagia-Tampoi. Ini berkaitan dengan penampilan watak utama siri ini yang ditampilkan sebagai pesakit mental yang berbudi mulia.

v) Olahan cerita dan 13 sinopsis awal siri ini dihasilkan dalam masa 1 minggu oleh Kamn Ismail dan dibantu oleh Wan Ayumi Wan Yusof.

vi) Storyboard pertama dihasilkan oleh Raja Zaharuddin Shah.

vii) Episod pertama 'Pengenalan Keluang Man' berjaya dihasilkan dalam tempoh 2 bulan.

viii) Antara penyumbang suara terawal bagi siri animasi ini adalah :

Akib Junid sebagai Borhan/ Keluang Man

Azhar Saad sebagai Samad / Tiong Man

Wan Ayumi sebagai Kathy Ismai ( wartawan )

Asmawi sebagai Inspektor Shahab

Hafidz sebagai Dr. Ramoo

Karim Wahab sebagai Zairi (jurugambar)

Adik Nazirah Kamarudin sebagai Mei Mei

Azman Wahab sebagai watak-watak lain.