Wednesday, December 16, 2009

2D best ke atau 3D lagi Best?



Sewaktu mengadakan persembahan pemilihan penerbitan rancangan TV di salah sebuah stesen TV tempatan, belumpun sempat duduk, kami disapa oleh oleh salah seorang panel penilai dengan soalan yang telah menjadi kelaziman sejak beberapa tahun ini. " U bawa 2D ke 3D ?" Anda boleh jangkakan sepanjang mana juih bibirnya tatkala mendengar jawapan pendek kami"2D". Dan dia menyambung lagi, " Cerita drama apa pulak korang nak buat ni ? Cubalah buat cerita 3D baru la teknologi sikit. Asyik 2D je, bila nak maju ?". Tanpa membalas dengan nada bantahan, kami akur meneruskan persembahan berkaitan penerbitan, disusuli dengan secubit tayangan pendek animasi kami itu. 3 panel tersengih, tersipu berselang hilai tawa yang ditahan tika menghadam karya tersebut. Jelas, karya yang sedikit di apung dengan tambahan imej kesan khas digital tadi mampu merubah persepsi. "La tadi kata 2D, ni kamu tunjuk 3D pulak ?" tiba-tiba panel tadi bertanya dalam nada seakan sangat berpuas hati dengan tayangan itu. " Pendek sangat, takda yang lain lagi ?" tanya panel yang sorang lagi. Aku sekadar menjawab, "yang encik tengok tu, animasi 2D la", "O ye ker?" kenapa tak buat 3D mesti lagi best" " La balik ke situ jugak" kata aku dalam hati.

Seketika, mari kita telusuri, bahawa, tidak semua karya kartun sesuai dan boleh dianimasikan. Begitu juga tidak semua karya kartun sesuai untuk di 3D kan. Bayangkan lakaran Usop Sontorian oleh Sifu Ujang di 3D kan, maka hilang dan punahlah identiti lakaran Ujang tersebut. Begitu juga karya Datok Lat, ianya empuk dan enak dalam layar 2 Dimensi. Penontonnya juga cecah jutaan orang tiap kali dilayar di Astro.

Sebenarnya, cerita dan cara penceritaan itu yang terlebih penting berbanding dengan imej yang diapung ke layar. Contoh yang paling dekat dan mudah difahami adalah wayang kulit. Wayang Kulit Sri Ason membuktikan teori ini. Apa ada pada 2 keping boneka kaku tersebut, natijahnya, penonton tetap terpukau dengan lagak suara, muzik latar dan kandungan persembahannya. Bukankah wayang kulit diiktiraf sebagai animasi awal di dunia?

Tuesday, December 15, 2009

Animasi "Cap RTM"

Industri Animasi Malaysia, Giat berkembang, Teringat ketika aku mula-mula menyertainya seawal Usop Sontorian dulu, gaji permulaan bagi animator adalah RM500 sahaja. Kini setelah lebih sedekad atau lebih tepat lagi 15 tahun berlalu, graf peningkatan gaji permulaan itu tidaklah banyak berubah. Dihitung dengan angka, gaji animator kini hanya naik sekitar RM300-RM500 sahaja dalam masa 15 tahun. Dan kebanyakannya masih berpendapatan sekitar RM800-900 sahaja. Lebih malang lagi, ramai yang hanya sekadar bertafar kontrak yang tentulah tidak menjamin masa depan karyawan terbabit. Sebab itulah, dengan mudahnya kita membuat kesimpulan bahawa mutu animasi Malaysia kebanyakannya masih ditahap lama dan dicap dengan label "animasi RTM" oleh pelbagai pihak. Memang pun, kerana dari tahun 1994 hingga kini, stesen penyiaran itulah yang sanggup membeli produk animasi tempatan, dan harganya pun masih sama dari dulu hingga kini. Dengan harga yang sama itu, para penerbit animasi terpaksa berdepan dengan kenaikan gaji kakitangan setiap tahun, maka akhirnya pengecilan operasi dan pengurangan mutu animasi akan terhasil secara evolusi tersendiri tanpa dirancang.