Saturday, October 2, 2010

Ilusi Pergerakan


sekadar foto hiasan. Sekejap ada sekejap tiada. Satu Ilusi!

Animasi atau kata lainnya adalah Ilusi Pergerakan ( Illusions of motion ) dan juga pengekalan serta rakaman imej dalam penglihatan kita (persistences of vision ). Oleh kerana itu, kekadang harus juga kita akui, animasi di Malaysia juga sesuai dengan tabiat dan sifat 'Ilusi" tersebut. Maka senantiasa pula kita mendengar, sesebuah studio animasi, semalam ada, hari ini tiada. Hari ini ada, besok belum tentu. Tahun lepas ada, minggu ini sudah ditutup. Sepuluh tahun yang lalu ia gagah, hari ini hilang ghaib entah kemana. Para karyawannya pula juga senantiasa ber'ilusi' tentang masa depan yang kekadang kelihatan terang benderang berbekal suluhan janji-janji. Pada ketika yang lain pula, cahayanya malap dalam samar dan dingin dinihari.

Aku, masih lagi berjalan di permukaan yang luas sambil ber'ilusi' dengan mainan fatamorgana. Kekadang berhenti rehat di bawah pohon rendang milikan saudagar kaya. Berbaik nasib pula kiranya sang hartawan mengupah sebiji dua hasilnya atas titik peluh memanjat turun setangkai dua buah punyaannya itu.

Tersentak lelap, deringan mengejutkan lena mimpi dan igauan tadi. Suara biasa yang dikenali sekian lama, bertanya akan tarikh akhir menghantar bahan animasi untuk penerbitannya. Lantas tersedar, masih banyak yang belum aku ilusikan, dalam keriuhan syawal dan pesta "open House" ini.

Dan pagi tadi, aku juga ber"ilusi" bersama Encik Kamn Ismail, menyambut sekitar 40 warga Kolej Komuniti Kuantan yang berkunjung penuh tertib ke studio milikan beliau. Mereka, lantas kami pertontonkan sebuah ilusi dalam animasi Lagenda Kinabalu.

Monday, September 13, 2010

Tuesday, August 3, 2010

Melayu Kejepunan


Kempunan! Kejepunan!
Demikian detik hati tatkala melangkah lewat masuk ke Dewan Unisel Kampus Shah Alam pada 31 Ogos lalu. KONMAS 2010 acara diberi nama. Dengan logo tersemat sekumtum bunga Orkid ( mungkin kerana Bandaraya Shah Alam ) ataupun bunga Raya, bunga kebangsaan Malaysia, aku fikir pasti acaranya bersulam budaya kebangsaan, namun meleset sama sekali.

Dan ANIMAS, mungkin janggal dan pelik untuk tiba-tiba berada bersama komunti yang semakin membesar tersebut. Sungguh! Ramai dan begitu tersendiri, menyendiri rasmi di dalam sebuah universiti industri.

Lalu ? Kenapa ANIMAS turut serta dalam KONMAS ( Festival Komik Anime & Manga seMalaysia ) di Unisel ini? Sebenarnya, bukan saja kalian patut berasa pelik, malah kami pun turut kelihatan pelik berada ditengah-tengah kePELIKkan tersebut. Orang Melayu wajahnya keJEPUNAN. Orang Malaysia, berwajah dan berpakaian ala-ala Jepun dan berbudaya Jepun. Adus!!

Namun itulah kerja dan kerjabuat yang perlu digalas ANIMAS. Tampilkan Wajah Malaysia di tengah-tengah kepelikkan bagi mewujudkan suasana dan minat masayarakat terhadap karya tempatan. Rata-rata pengunjung dan peminat anime-manga tersebut mungkin tidak mengenali atau sudah lupa rupa tempatan dan karya tempatan.

Insya Allah kami akan terus mempergiatkan usaha memperkenal dan menaikkan imej Kartun dan Animasi berciri tempatan. Di tengah-tengah kepelbagaian, wujud satu penyatuan. Karya Tempatan!


Pesan datuk : Kalau nak meniaga dengan orang lain, cari barang yang orang lain tak ada, baru boleh berlaku urus niaga, mana boleh ditukar lembu dengan lembu, padi dengan padi.

Sekali teringat kata-kata tersebut, terasa amat perlu animasi Malaysia, berciri malaysia lalu dibawa keluar untuk bertukar bertukar dalam urus niaga antarabangsa. Kalau anak-anak kita sukakan barang dari luar, maka tidaklah mustahil barang kita juga boleh disukai dan diterima di tempat lain, cuma kadangkala dek kedangkalan, kita terlupa akan kebolehan sendiri. Alpa dan lalai. Hilang keyakinan. Akibat lama terjajah barangkali.