Tuesday, March 25, 2008

Lembab "Fenomena Luar Jangkaan"

Assalamualaikum.
Lama rasanya aku 'tinggalkan' blog ini kerana 'sibuk' melayani harakahdaily, anwaribrahimblog,tvpas.com dan lain-lain laman berita termasuklah utusanonline dan yang 'seangkatan' dengannya. Mabuk berita! Dahaga Maklumat! Itu mungkin sesuai dengan apa yang aku alami dalam 2 minggu ini. Mungkin ramai para sahabat juga merasakan demikian. Maklumlah semenjak dua menjak ini, kita dapat rasakan 'Buletin arus perdana' kita berada dalam 'velocity' yang amat lembab. Belek akhbar macam takada berita. Betul ke? Senario lembab ini bermula sejak malam keputusan pilihanraya. Korang perasan tak?
Sekadar mengimbau kenangan dan pengalaman mengundi. Kali ni adalah kali ke 3 aku mengundi sejak perlembagaan membenarkan aku berbuat demikian 10 tahun yang lalu. Aku mula mengundi era 'laungan keramat REFORMASI' bergema seluruh negara. Suatu kemenangan yang bermakna kerana dapat melihat Presiden Pas menjadi ketua pembangkang di Parlimen. Malangnya pilihanraya 2004 mengundang kesedihan di luar lingkup jangkaan. Kali ini, tahun ini, sehari dua ni sekali lagi fenomena luar jangkaan itu berlaku dan akhbar serta media kita juga seakan berada dalam 'luar jangkaan' dengan fenomena lembab dalam melaporkan berita. Tak pernah aku terpaksa menunggu hingga jam 4 pagi untuk suatu keputusan pilihanraya.
Satu lagi fenomena luar jangkaan berlaku dalam kemelut pemilihan dan perlantikan MB Terengganu. Aku tak pandai nak memberi komen ataupun mengulas mengenai Perlembagaan Negara. Tapi ini memang 'Luar Jangkaan' dan 'pilihanraya semula' di Terengganu mungkin bakal menjadi satu lagi keadaan dalam siri'Luar Jangkaan' itu.
Datuk Seri Anwar sering mengungkap maksud Al-Qur'an, "..Mereka merancang, Dan Allah juga merancang, Dan sebaik-baik perancangan adalah rencana Allah"
Mungkin kawan-kawan tertanya-tanya apa kaitan Blog ini, Usop Sontorian, Keluang Man dengan pilihanraya? Jawabnya, era Reformasi adalah dimana tikanya Kegemilangan Siri Keluang Man. Dan aku serta teman-teman keryawan amat teruja dengan ungkapan tersebut. Kalau ada yang terperasan, banyak mesej yang kami selitkan dalam 'dialog-dialog' watak siri kegilaan ramai itu selaras dengan 'kegilaan' watak utamanya Borhan dan Samad di Hospital Mental Tumpoi. Hinggakan DSAI juga 'kepingin' menontonnya. Tapi aku rasa hingga hari ini, beliau belum berkesempatan menyaksikannya. Klik link di bawah:
http://ameirhamzahhashim.blogspot.com/2007/08/warkah-keramat-dari-sungai-buloh.html

Wassalam.

Saturday, February 2, 2008

Mari Fahami Sebuah Visual

Karya ini merupakan antara karya awal kartunis TABAK. Beliau sebenarnya adalah salah seorang pelukis storyboard (Jurulakar Cerita) di studio Usop Sontorian dulu. Ianya dipercayai dihasilkan pada Oktober 1996 dan salinan fotostat ini dihadiahkan sebagai kenangan buat Yumi pada Majlis Hari Lahir yang diadakan. Apa yang dinukilkan dalam karya di atas, adalah satu sketsa dan pandangan biasa bagi jabatan storyboard Usop Sontorian itu. Di dalamnya kita boleh tengok watak Kartunis Tembakau, Rambai dan Tabak sendiri manakala latar belakangnya terdapat poster-poster wayang bagi menggambarkan pula minat dan keperluan utama bagi seseorang yang ingin berkecimpung dalam bidang animasi ini *Tengok Wayang* dan fahami Sikologi Teater atau Bahasa dan Nahu yang terdapat dalam setiap naskhah filem yang ditonton. Strip kartun di atas, sengaja dibiarkan 'bisu' untuk membolehkan anda turut menyumbang olahan cerita berdasarkan kefahaman anda sendiri. Cubalah.

Wednesday, January 23, 2008

Seminar Pendidikan Animasi Malaysia

"Petikan Artikel Akhbar Harian Metro"

Filem animasi gagal di pawagam
Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my

My Metro
BARANGKALI ramai yang tidak tahu, wayang kulit yang popular di pantai timur Semenanjung adalah bentuk animasi terawal di tanah air dan rantau nusantara.
Ia bukan saja hadir dengan layar putih, malah diserikan dengan imej dan suara yang unik mengiringi setiap babak cerita disampaikan.
Seminar Pendidikan Animasi Malaysia yang bermula semalam dan berakhir hari ini di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Kuala Lumpur disifatkan landasan terbaik mencorakkan hala tuju animasi tanah air dan bersaing ke peringkat global.

Bertemakan Merangka Pembangunan Pendidikan Animasi di Malaysia, seminar anjuran Fakulti Filem & Video Aswara ini dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah Hal Ehwal Akademik/Hal Ehwal Pelajar Aswara, Habsah Mohd Noordin yang mewakili Rektor Aswara, Datuk Omar Awang.

Habsah berkata, kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) memandang serius perlunya bidang animasi dilaksanakan di Aswara, maka tidak hairan pada Mei 2007 lalu, kabinet memutuskan Aswara dijadikan Pusat Latihan Animasi Malaysia.

“Aswara akan memulakan program Sijil Animasi sepenuh masa selama tiga bulan bermula Februari ini dan akan dilaksanakan tiga sekali pada tahun ini.
Begitu juga pengajian ijazah Sarjana Muda Filem dan Video dengan pengkhususan animasi pada semester ini bermula 14 Januari lalu,” katanya.
Aswara turut menerima kunjungan Presiden Universiti Seni Kebangsaan Korea (KNUA), Jiwoo Hwang menjalin kerjasama antara dua universiti dalam meningkatkan jaringan bidang seni budaya dan warisan.

Pentas perbincangan semalam dimulai dengan Sesi I: Sejarah dan Perkembangan Animasi Malaysia yang menampilkan tiga panel mengupas tajuk ini iaitu Presiden Persatuan Animasi Malaysia (Animas), Hassan Abd Muthalib, Penerbit Quest Animation, Kamn Ismail dan Penerbit Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi.
Membuka bicara, Hassan berkata, industri animasi Malaysia dipelopori Filem Negara dengan siri animasi 2D pertama untuk televisyen iaitu Hikayat Sang Kancil pada 1986. Ia dihasilkan Ananda Xavier dan mengambil masa 13 tahun untu disiapkan.
“Timbul masalah kekurangan animasi tanah air kerana kita tidak mempunyai studio khusus untuk animasi. Selain itu, wujud kekeliruan dari segi cerita (story telling) dan bagaimana menyampaikan cerita (story making). Untuk berjaya, kita perlu menjadikan animator sebagai tukang cerita.
“Agak menyedihkan apabila filem animasi dihasilkan gagal mendapat sambutan di pawagam. Umpama filem animasi pertama, Silat Lagenda (1998) yang diterbitkan dengan kos RM6 juta hanya memungut kutipan RM140,000, begitu juga Putih (2001) dengan kos RM1.1 juta hanya mengutip RM400,000 dan terbaru Budak Lapok (2007) juga gagal,” katanya.


Kamn pula berkata, syarikatnya mula terbabit dengan animasi 15 tahun lalu dan langkah menyediakan rancangan animasi TV hasil usaha dan gesaan kerajaan, malah mendapat slot RTM.Siri animasi pertama dihasilkan syarikatnya Usop Sontorian sebanyak 49 episod pada Februari 1996.

“Pada peringkat awal, 24 animator dipilih menyertai produksi ini. Kemudian pada 1994, ia meningkat kepada 94 animator kerana rancangan Usop Sontorian kian popular dan RTM meminta ia disambung. Waktu ini, beberapa jabatan animasi diwujudkan untuk mengemaskan aliran produksi supaya lebih teratur.
“Perisian animasi berkomputer digunakan tidak sehebat mana, malah tiada tempat merujuk. Tetapi ia diteruskan juga walaupun serba kekurangan. Untuk menjimatkan kos, kita gunakan animator menyumbangkan suara mereka dalam siri ini,” katanya yang aktif menerbitkan siri animasi seperti Keluang Man, Che Nat, Toman 1 dan Lagenda Kinabalu.

Sementara itu, Burhanuddin berkata, siri animasi Upin dan Ipin yang ditayangkan di TV9 Ramadan lalu bertujuan menguji pasaran dan berbangga apabila dipilih Animasi Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (Kliff) yang julung kali diadakan di ibu kota, tahun lalu.
“Industri animasi negara boleh memasuki pasaran global dalam dua bidang perniagaan, menjual produk animasi asli ataupun mengambil kerja ‘outsourcing’ dari studio animasi besar di luar negara. Kedua-duanya memerlukan usaha pemasaran agresif dan bersepadu serta keupayaan menghasilkan produk bermutu.