Sunday, April 25, 2010

Teraju ANIMAS 2010-2011


Mesyuarat Agung ANIMAS
24 April 2010 Jam : 11.00 Pagi
Bilik Mesyuarat Cempaka ( FINAS )

Teraju utama bagi sesi 2010-2011
Dari kiri, Najat ( Timb. Presiden ), Kamn Ismail ( Presiden ), Hassan Muthalib ( Ahli Kehormat )
dan Amir Hamzah Hashim ( Timb. Presiden )

Terimakasih kepada semua yang telah menyatakan sokongan kepada kami melalui undian anda. Kini masa untuk bertindak dan mengorak langkah bersama dengan lebih rancak lagi bagi mempopularkan ANIMAS di persada negara.

Beberapa hari sebelum tibanya detik pemilihan Animas, aku menerima beberapa panggilan daripada rakan-rakan dan diadukan dengan beberapa persoalan berkaitan Animas. Antaranya, apa tujuan menjadi ahli Animas, apa Animas mampu buat untuk menjaga kebajikan para karyawan animasi tempatan, dan tidak kurang juga bertanya kenapa Animas diterajui oleh golongan "beruban?" dan tidak mahukah "aku" menjadi salah seorang penerajunya?
Lantas aku memberi beberapa poandangan yang berkaitan persoalan di atas. Pertamanya, aku melontarkan buah fikir bahawa Persatuan Animasi Malaysia ditubuhkan dalam rangka mengumpul data penggiat serta peminat animasi tempatan bagi mendapat khalayak ataupun populasi animasi yang lebih besar. Kemudian daripada itu, dengan populasi yang besar, animasi secara sendiri mampu berdiri sebagai satu industri yang mapan dan kukuh dimana jualan dan siarannya tidak lagi terhad kepada stesen tv tempatan semata-mata malah boleh dijual secara terus kepada para peminat melalui pelbagai medium seperti DVD, Buku-buku Khas serta permainan videonya. Keduanya, aku bertanya sendiri, apakah ANIMAS merupakan persatuan kebajikan? Jelas bukan! Ia bukanlah satu pertubuhan kebajikan hanya sekadar bagi membantu animator memperjuangkan gaji yang tidak dibayar oleh majikan, sebaliknya ia merupakan rumah yang dihuni oleh semua jenis penggiat samada karyawan, majikan, peminat mahupun tenaga pengajar, maka skopnya lebih luas daripada itu. Namun demikian, persoalan "gaji" yang sering dibangkitkan oleh para "kawan-kawan" akan tetap menjadi topik utama dalam setiap forum yang bakal berlangsung, dan ketiganya, untuk menjadi "pemain" dalam ANIMAS, memerlukan undian dari para ahli yang bermesyuarat dan mengundi dalam pemilihan dan natijahnya jutaan terimakasih dan penghargaan kepada para ahli mesyuarat dan pengundi sekelian kerana telah memilih kami para AJK baru bagi sesi 2010/2011 untuk menerajui ANIMAS. Dengan "tawaduk" aku juga menerima tanggungjawab ini sebagai amanah bagi terus memacu Animas dengan lebih giat dan aktif bagi mencapai maksud penubuhannya. Dan Insya Allah, Pameran Animasi Satu Malaysia yang sedang berlangsung di Perpustakaan Negara dari 20 April - 20 Mei 2010, dimana Majlis Perasmiannya akan diadakan pada 4 Mei ini, bakal menjadi batu tanda untuk untuk kita terus melangkah ke hadapan dengan pelbagai rangka program dan susunan keutamaannya sedang diteropong serta diperhalusi.

Wednesday, April 7, 2010

Aku & Animasi

Walaupun pada hakikatnya, animasi telah mula dikenali dunia sekitar awal 20an, dan dikatakan wujud lebih awal daripada itu, sesetengahnya menyatakan lukisan –lukisan catan pada dinding-dinding gua kuno boleh juga dikatakan animasi apabila ia memenuhi beberapa prinsip asas animasi itu sendiri. Di Malaysia ia mula dikenalkan seawal 1950an oleh pereka animasi Inggeris, namun ia tidaklah dikenali dan diketahui umum sehinggalah wujud tayangan animasi pertama bertajuk Hikayat Sang kancil terbitan Filem Negara Malaysia pada tahun 80an. Encik Hassan Muthalib, Presiden Persatuan Animasi Malaysia ( ANIMAS ) amat arif tentang sejarah animasi yang berkenaan lantaran penglibatan langsung beliau bersama karyawan dan penerbitan animasi tersebut.

Bersandarkan pengalaman saya sendiri, animasi Malaysia, harus secara jujurnya mula dikenali, diminati dan diperkatakan ramai orang adalah pada tahun 1993 apabila Kharisma Pictures Sdn. Bhd. yang dikendalikan oleh En Kamarudin Ismail ( Kamn Ismail ) bertemu dan mengadakan usahasama bersama kartunis Ujang yang sebelum itu terkenal dengan karya novel kartun beliau Aku Budak Minang. Hasil gabungan tenaga tersebut, maka lahirlah Animasi bersiri pertama Malaysia, Usop Sontorian. Mereka berdua menjelajah seluruh tanahair, mencari dan melatih tenaga kerja animasi dengan cara tersendiri lantaran tiadanya sumber ataupun institusi rasmi dalam bidang animasi pada ketika itu. Maka saya kira, itulah detiknya apabila masyarakat melalui media massa mula memperkatakannya dengan meluas. Namun pada ketika itu juga sering kita mendengar frasa ANIMASI disebut AMINASI oleh sesetengah orang, demikian bukti janggalnya animasi pada masyarakat kita pada tahun-tahun tersebut. Malah seringkali juga pekerjaan ANIMATOR / PELUKIS ANIMASI tidak dapat diterima oleh kerani-kerani bank tatkala ingin membuka akaun bank. Mereka ketika itu lebih selesa dengan jenis pekerjaan KARTUNIS atau PELUKIS sahaja. Perkara ini benar-benar berlaku dan hampir kesemua Animator yang terlibat dalam penerbitan Usop Sontorian mengalami pengalaman serupa.

Memang benar, sekitar 1990an animasi amat jarang disebut apatah lagi untuk disandarkan pengharapan dan cita-cita di kalangan kanak-kanak sekolah, malah saya sendiri pun hanya merasa teruja untuk menjadi pelukis animasi tika tamat persekolahan pada penghujung tahun1993. Itupun kerana sebuah Paparan Iklan majalah Ujang di akhbar pada ketika itu. Didalamnya terselit Iklan Jawatan Kosong sebagai Pelukis Animasi, dengan sekeping gambar dari cerita animasi Usop Sontorian. Merasa terpanggil dan bersemangat untuk mencuba. Masih terbayang seakan ianya sebuah mimpi. Sungguh! Walaupun sewaktu bersekolah, ramai kawan-kawan memang menjangkakan saya akan memilih kerjaya sebagai Pelukis Kartun, lantaran minat mendalam dalam hal-ehwal menconteng dan melakar kartun di bangku-bangku sekolah serta buku-buku sekolah berbanding menulis nota-nota pelajaran.