Friday, April 27, 2007

Perkhemahan Di Air Terjun Chamang, Bentong

September 1996, seingat aku la, perkhemahan ni diaturkan dengan begitu baik dan menjadi salah satu daripada beratus belas nostalgia dan event penting yang mungkin kekal di benak seluruh warga karyawan Usop Sontorian. Sebetulnya, walau nostalgia ni tak dapat dielak untuk terus dikenang, tarikhnya dah pun aku lupa. Bukan taknak ingat tapi tak dapat nak singkap memori otak aku sekarang ni, akan tarikh nya yang sebenar. Sesapa yang masih ingat.. tolong-tolonglah komen kat sini. Nanti aku boleh betulkan balik faktanya. Hmm tarikh amat penting untuk rekod sejarah. Kan Usop Sontorian ni, sejarah hebat animasi Malaysia. Korang setuju tak? "Saya takpape" kata Mabuk salah seorang animator Usop Sontorian.
Bergaya sebelum berangkat ke Chamang.
Berdiri dari kiri, Stif, AKU, Bob, Dedak, Kidol, Nuar dan Tok CD.
Duduk dari kiri, Sherina, YUMI dan Haili.

Mendengar taklimat dari En Kamn dan Ketua Missi, Zairi.
Dalam bas. Nampak Ipin, Jau, Ustat, Tembakau, Manzur, Sherina, Bob, Zairi, Art. Pakdin, Latip, Rock, Midin (Allahyarham), dan ramai lagi...

Baru sampai di Chamang.

Menyanyikan lagu Berjuta Batu (Alleycats). Bersukaria sebab dah berjaya menyiapkan Usop Sontorian 13 episod siri ke 2.

Tembakau, Tabak, Lambok, Rock dan Rambai.


Aku diberi rawatan "pesakit luar" oleh ketua kontinjen dan dibantu oleh rakan-rakan akibat kecuaian terpelosok kaki ke dalam lubang yang mengandungi tin-tin berkarat mengakibatkan luka di lutut kanan.

Bersama Kidol dan Nuar di Khemah kami.


MF Ajif, Awie dan Rock sedang cuba menghidupkan api untuk masak air je..

Hari pertama, airnya agak jernih.

Hari ke 2, airnya jadi keruh pulak sebab hujan lebat melanda pada sebelah malam sebelumnya.


Latip (kopi) dan As Burzum.

Ustat, Bob dan Art.

Masa perkhemahan ni, kalau tak silap aku, ada seramai 62 orang karyawan Usop yang terlibat. Malangnya, foto dalam simpanan aku ada banyak ni aje. Ramai yang tak kelihatan di sini. Mungkin yang lain-lain tu ada menyimpan foto masing-masing, boleh le kirim kat aku.

Thursday, April 19, 2007

Selebet Yang Membanggakan

Namanya Selebet. Tapi ianya menjadi lambang kebanggaan dan kemegahan para karyawan Usop Sontorian dan warga Kharisma Pictures satu masa dahulu. Wajah dan jelingan Selebet ini pasti menjadi kerinduan seluruh insan yang pernah terbabit dan terlibat dalam penerbitan animasi Usop Sontorian itu sendiri. Jelingan yang seakan memikirkan sesuatu ini, sering muncul pada permulaan setiap episod Usop Sontorian. Lambang Selebet ini juga menjadi penyambut yang setia bagi setiap insan yang berkunjung ke studio Kharisma Pictures.
Logo ini dinukil oleh aku untuk dijadikan ID studio pada permulaan setiap siri Usop Sontorian. Aku masih ingat bagaimana Zairi membuat Papan Tanda lambang selebet ini pada sekeping perspec 4 X 3 dengan menggunakan spray paint. Satu persatu warna watak Selebet ini di sembur mengikut blok yang telah diukir pada perspek tersebut. Satu hari dari pagi sampai malam baru siap. Pagi besoknya.. semua orang teruja dengan hasilnya. Ianya mula dipasang di pintu depan studio pada Januari 1996.

Perhatikan pada kad nama di atas, Text (font) Kharisma Pictures itu diambil hasil tulisan tangan aku. Juga menjadi ID studio pada permulaan setiap Episod Usop Sontorian. Logo Rasmi Kharisma Pictures yang berwarna biru dan hijau pula, ramai yang ingat ianya imej seekor ayam, tapi sebenarnya ia hanyalah kebetulan. Menurut En Kamn Ismail, asalnya ianya direka dan dihasilkan mengikut formasi kertas yang digulung. Tapi nampak macam rupabentuk ayam pulak. Jadi semacam ada hubungkait dengan watak Selebet tersebut. Inilah kebetulan yang agung yang akhirnya mencipta sejarahnya yang tersendiri.

Selebet kan tetap diingati. Selebet asalnya dicipta oleh Ujang, dilendik dan dicomelkan oleh Michael dan dinukilkan sebagai logo oleh aku, digunakan sebagai ID syarikat dan dibanggakan oleh seluruh karyawan Usop Sontorian.

Sebagai rekod sejarah, Intro Usop Sontorian episod Meriam Buluh (original pilot ) telah menggunakan watak selebet menyanyi lagu "Tidurlah Wahai Permaisuri" nyanyian 'sumbang' En Kamn hehe.. dan suara watak selebet ini asalnya dipinjamkan dari suara kreatif Ujang, kemudian kerana kesibukan Ujang, digantikan dengan suara kartunis Taugeh, kadangkala oleh Saudara Azhar Saad-Art (kini Penolong Pengarah Seni, Quest Animations ).

Sunday, April 15, 2007

Lukisan Lama

Dua lukisan lama ni aku jumpa masa menyelongkar fail-fail lama kat rumah. Berpeluh-peluh jugak aku mencari dan selak semua dokumen lama yang masih tersimpan elok. Untuk hari ni, cukup la aku sisipkan 2 lakaran ni. Yang pertama tu, lakaran spek ataupun guide untuk kami para animator Kharisma dulu. Lakaran spek ni penting untuk menyeragamkan lukisan kami semua. Namun, kadang-kadang, kalau perati betul-betul animasi Usop Sontorian tu, mesti kita jumpa macam-macam jenis dan gaya lukisan kat dalam tu. Resmi pelukis, susah nak lari dari identiti sendiri. Apa-apapun, lukisan dan lakaran ni, sebenarnya dah jadi sejarah penting negara kita ni, tambahan pula baru-baru ni, Kerajaan mula membuka mata pada industri animasi kita.

Kalau kita kaji lukisan watak-watak ni, kita akan jumpa satu teori dan konsep yang digunakan oleh Ujang dalam mencipta watak-watak tersebut. Ianya menggunakan imej Geometri, iaitu Bulat, Empat Segi, bentuk kacang dan Bujur Telur. Perhatikan watak Budin, Pakmat dan Singh, ianya berasal dari bentuk empat segi. Dol, Ahkim dan Velloo pula berbentuk bulat. Kak Kiah dan Abu mengambil asas bujur telur. Manakala Usop, sebagai watak utama diberi sentuhan kelainan dengan rupa bentuk kekacang.
Lakaran sel watak Dol dalam Usop Sontorian. Lukisan ni tak digunakan dalam siri Usop Sontorian. Sel ini hanyalah satu bentuk latihan pada para animator baru. Kami biasanya dilatihtubi untuk melukis sel-sel macam ni menggunakan kertas dan pensil, bila dah cukup mahir dan cekap melukis, baru kami diserap masuk dalam kumpulan animator berkomputer. Animasi Usop Sontorian dilukis sepenuhnya dalam komputer menggunakan kaedah DTS (draw to system). Kami melukis animasi terus ke dalam sistem komputer menggunakan tetikus (mouse) bagi menggantikan pensil dan kertas namun kaedah ini tetap memerlukan lakaran (frame by frame) macam cara tradisional jugak, bezanya hanyalah penggunaan komputer.