Tuesday, May 15, 2007

Jelajah Temuduga Seluruh Tanahair

Sebelum aku memulakan Blog ini dulu, selalu juga aku melayan diri dan kehendak dari dalam diri aku untuk cuba-cuba melayari laman maya sebegini sekadar untuk mencari apa-apa juga maklumat berkaitan animasi tanahair kita ini. Malang sekali maklumat berkaitan animasi amat terhad atau boleh juga dikategorikan sebagai tiada. Bukan aku sengaja berfikiran demikian, namun itulah realitinya. Kalau adapun maklumat, boleh dikatakan juga sekadar kulit tanpa isinya. Senang cerita, kalau kita bercadang mencari bahan berkaitan Usop Sontorian, laman maya kita ini hanya sekadar mendorongkan kita ke laman Wikipedia, dan ianya bakal mengundang gundah kecewa kita, kerana maklumat sebaris dua di situ hanya menyatakan bahawa Usop Sontorian adalah animasi bersiri pertama Malaysia. Kadang- kala juga kita dibawa sesat ke laman-laman forum indipendent yang membincangkan, memuji, mengutuk atau mendakwa itu dan ini tanpa fakta yang benar, tepat malahan tidak betul. Pernah sekali, ada pihak dengan berani dan angkuhnya mendakwa bahawa animator Usop Sontorian dilatih oleh mereka, dan animator-animator dari studio merekalah yang telah membangunkan industri animasi Malaysia. Aku sebenarnya malas nak menyanggah mahupun menerima bulat-bulat telahan makhluk-makhluk yang tidak mahu mengenal erti Tawaduk itu, kerana aku juga punya fakta dan maklumat yang agak berguna untuk sama-sama kita fikir, renung dan meneliti dengan penuh rasa rendah diri pada maha Pencipta.

Sedang aku membelek-belek macam-macam dokumen serta lakaran-lakaran lama dalam kotak-kotak berdebu yang dah hilang warna asalnya itu, aku didorong untuk mengambil lembar kekuning-kuningan ini. Maka nikmatilah fakta yang terdapat di dalamnya. Ianya merupakan jadual gerak-kerja Jelajah Seluruh Tanahair bagi mencari bakat-bakat baru dunia lukisan untuk dilatih sebagai pelukis animasi Kharisma Pictures. Inilah caranya Kamn dan Ujang serta sekelian warga Kharisma membentuk organisasinya yang membesar sehingga mempunyai seramai 94 kakitangan pelbagai lapangan dan takah pembikinan animasi. Lihat saja ke segenap ceruk dan daerah dikunjungi En Kamn, Ujang dan Diramawari untuk mendapat dan mengumpulkan pelukis-pelukis anak muda tempatan bagi dihimpunkan menjadi sebuah keluarga yang besar yang akhirnya mempunyai semangat tinggi melangit serta kesetiaan sesama rakan yang tidak berbelah bagi. Sesungguhnya, keakraban itu segar membugar hingga ke hari ini.


Jadual perjalanan dan sesi temuduga ini adalah siri Jelajah ke3 yang dijalankan oleh pengurusan Kharisma Pictures unutuk menambah bilangan ahli keluarga kami pada masa itu. Ini berikutan penerimaan stesen RTM untuk menayangkan animasi Usop Sontorian dalam masa terdekat, maka bilangan tenaga kerja perlu ditingkatkan. Usop Sontorian sesungguhnya telah menghimpunkan ramai pelukis-pelukis berbakat tenaga anak muda dari pelosok dan ceruk rantau negara kita lalu mengenalkan mereka dengan teknologi komputer serta teknologi maklumat yang pada masa itu masih jauh dari jangkauan rakan-rakan sebaya yang masih leka dan lalai dihidangkan dengan kartun-kartun animasi dari luar negara.

Saturday, May 12, 2007

Petikan Dari Blog Tun Siber

* Aku sengaja memetik monolog nukilan rakan aku Tun Siber (Kidol-namanya bagi yang mengenali dengan nama ini). Monolog ini ada sedikit-sebanyak persamaan dengan aku jugak. Kidol inilah juga yang mengenalkan aku pada majalah Gelagat.

"TEMUDUGA DI JALAN IPOH, SATU NOSTALGIA TEGUH"


Bangunan bersusun batu tersergam merah di depan ku. Keratan akhbar yang ku koyak kasar, ku depang sambil membaca butirannya. "Kartunis diperlukan. Berminat? Sila hadiri temuduga di Kharisma Pictures, Plaza Pengkalan Jalan Ipoh. Dan atas sebab itu aku kemari, menjejak kaki dan mencari-cari. Batu 3 Jalan Ipoh ini, benar tidak asing bagi ku. Aku kerap ke sini setiap sabtu, menghantar kartunku ke Majalah Gelagat yang pejabatnya berhadapan dengan Plaza Pengkalan. Hari ini, aku melanggar rutin selalu. Hari ini aku memilih Isnin untuk ke kawasan ini. Dan tujuan ku kali ini untuk memenuhi undangan keratan akhbar tadi(jika boleh saja disebut undangan.). Sedar-sedar aku sudah dilingkung empat penjuru alam. Pengawal Keselamatan yang berlencana Mariapan, menghalakan ibu jarinya ke jentera ini untuk aku ke tingkat atas. Dalam gayat yang sembunyi, aku dikejutkan oleh dentingan Level 13 (mungkin saudara KIdol terkhilaf, sebenarnya level 15. Level 13 memang sengaja ditiadakan oleh tuan punya bangunan atas sebab-sebab yang taknak aku ulas di sini). Pintu menguak lembut. Aku melompat keluar. Sebuah lorong sayup mengalu-alu aku ke hadapan.
Aku membuka persoalan, lorong itu...apakah, lorong kejayaan atau lorong kesengsaraan? Aku keliru..keliru tentang masa hadapan. Haruskah aku terus atau kembali ke kotak lif? Keratan Iklan ku renung dalam. Menari-nari tinta hitam dan berbaur persoalan di cepu fikir.
Aku masih keliru...keliru memilih tuju.

Thursday, May 3, 2007

Bertemu Ujang dan Warga Blog Jibam

Sabtu 28 April 07, Aku sempat mengunjungi sifu Ujang dan warga Blog Jibam di booth CESB, di Pesta Buku Antarabagsa 2007-PWTC.
Aku, Shafiq, Animatot, Tidin dan Ujang.

Sekali dapat bertemu Ujang dan rakan-rakan Blog Jibam ni best jugak. Boleh borak-borak macam-macam hal disamping dapat minum teh tarik yang berharga RM3.00 di PWTC tu..