Wednesday, April 7, 2010
Aku & Animasi
Walaupun pada hakikatnya, animasi telah mula dikenali dunia sekitar awal 20an, dan dikatakan wujud lebih awal daripada itu, sesetengahnya menyatakan lukisan –lukisan catan pada dinding-dinding gua kuno boleh juga dikatakan animasi apabila ia memenuhi beberapa prinsip asas animasi itu sendiri. Di Malaysia ia mula dikenalkan seawal 1950an oleh pereka animasi Inggeris, namun ia tidaklah dikenali dan diketahui umum sehinggalah wujud tayangan animasi pertama bertajuk Hikayat Sang kancil terbitan Filem Negara Malaysia pada tahun 80an. Encik Hassan Muthalib, Presiden Persatuan Animasi Malaysia ( ANIMAS ) amat arif tentang sejarah animasi yang berkenaan lantaran penglibatan langsung beliau bersama karyawan dan penerbitan animasi tersebut.
Bersandarkan pengalaman saya sendiri, animasi Malaysia, harus secara jujurnya mula dikenali, diminati dan diperkatakan ramai orang adalah pada tahun 1993 apabila Kharisma Pictures Sdn. Bhd. yang dikendalikan oleh En Kamarudin Ismail ( Kamn Ismail ) bertemu dan mengadakan usahasama bersama kartunis Ujang yang sebelum itu terkenal dengan karya novel kartun beliau Aku Budak Minang. Hasil gabungan tenaga tersebut, maka lahirlah Animasi bersiri pertama Malaysia, Usop Sontorian. Mereka berdua menjelajah seluruh tanahair, mencari dan melatih tenaga kerja animasi dengan cara tersendiri lantaran tiadanya sumber ataupun institusi rasmi dalam bidang animasi pada ketika itu. Maka saya kira, itulah detiknya apabila masyarakat melalui media massa mula memperkatakannya dengan meluas. Namun pada ketika itu juga sering kita mendengar frasa ANIMASI disebut AMINASI oleh sesetengah orang, demikian bukti janggalnya animasi pada masyarakat kita pada tahun-tahun tersebut. Malah seringkali juga pekerjaan ANIMATOR / PELUKIS ANIMASI tidak dapat diterima oleh kerani-kerani bank tatkala ingin membuka akaun bank. Mereka ketika itu lebih selesa dengan jenis pekerjaan KARTUNIS atau PELUKIS sahaja. Perkara ini benar-benar berlaku dan hampir kesemua Animator yang terlibat dalam penerbitan Usop Sontorian mengalami pengalaman serupa.
Memang benar, sekitar 1990an animasi amat jarang disebut apatah lagi untuk disandarkan pengharapan dan cita-cita di kalangan kanak-kanak sekolah, malah saya sendiri pun hanya merasa teruja untuk menjadi pelukis animasi tika tamat persekolahan pada penghujung tahun1993. Itupun kerana sebuah Paparan Iklan majalah Ujang di akhbar pada ketika itu. Didalamnya terselit Iklan Jawatan Kosong sebagai Pelukis Animasi, dengan sekeping gambar dari cerita animasi Usop Sontorian. Merasa terpanggil dan bersemangat untuk mencuba. Masih terbayang seakan ianya sebuah mimpi. Sungguh! Walaupun sewaktu bersekolah, ramai kawan-kawan memang menjangkakan saya akan memilih kerjaya sebagai Pelukis Kartun, lantaran minat mendalam dalam hal-ehwal menconteng dan melakar kartun di bangku-bangku sekolah serta buku-buku sekolah berbanding menulis nota-nota pelajaran.
Sunday, February 28, 2010
Sesi Dialog Mini, Yang Besar Manfaatnya



27 Febuari 2010, Jam 3.00ptg, bertempat di Studio OtekKekatak ( Aniotek Sdn. Bhd - Kajang )
Ia menjadi realiti selang dua hari selepas aku dilayangkan pelawaan melalui panggilan telefon daripada seorang sahabat "profesional" dan kuli pencinta animasi tempatan. Ia tidak lain melainkan Najat, empunya studio kekatak. Tanpa bertanya lanjut dan jelas, mulut lantas mengiyakan pelawaan bagi sesi dialog mini bersempena lawatan para siswa dan siswazah UTP Tronoh-Sri Iskandar Perak ke studio "gah" nya, lantaran jiwa dan semangat yang sentiasa hangat untuk saling berkongsi sedikit pandangan dan pengetahuan dengan teman-teman seangkatan. Walau hati dan Naluri berasa ragu lalu tanpa lengah pula terus menyalahkan mulut yang terlalu cepat mengiyakan pelawaan tersebut. Akur dan mula mengatur langkah.
Natijahnya, kunjungan dan sesi dialog ringkas tersebut menemukan kami ahli-ahli panel berainan latar pengetahuan dan teknologi animasi. Duduk sebaris sambil bersuaikenal, masing-masing diajukan dengan pelbagai soalan daripada para peserta. Aku sendiri, tidak dapat tidak terpaksa menjawab beberapa soalan dan memberi pandangan bebas berkaitan sejarah pengkomirsilan animasi tempatan lewat Usop Sontorian mahupun Keluang Man. Ia memberi erti, segala jerih berkarya dan pengabdian sejak sekitar 16 tahun nan lalu dalam perkembangan industri animasi tempatan tidaklah terbiar dan terabai begitu sahaja. Jelas, ada yang mengambil tahu dan terusan ingin mendapatkan maklumat berhubung segala karya animasi terdahulu. Tak kurang, banyak juga perkara dan idea terbaru yang dapat dihadam ke pencernaan minda kerdil aku hasil daripada pandangan dan saranan ahli panel lain, yang mewakili generasi baharu dan kehadapan dalam industri dengan penggunaan teknologi media terkini. Mereka mewakili 2 lagi bidang pengkaryaan animasi iaitu 3D dan kesan khas, didatangkan daripada 2 studio terkini lagi terhangat, Animagis dan Sykotek. Syabas!.
Yang nyata, sesi dialog begini memberi erti yang sangat besar kepada diri sendiri dan para pejuang animasi sekelian, bahawa langkah kita sering dan akan terus dipandang, diikuti malah tak kurang juga ada yang akan terusan mencemuh. Namun realitinya, sebagai manusia, rencah sedemikian menjadi corak serta warna-warna menarik dalam kehidupan yang sering dan kian mencabar ini.
Penyudahnya, sesi percambahan minda sebegini, sekurang-kurangnya memberi sedikit peningkatan mutu berdialog dan mengapung sedikit ukuran pengetahuan aku dalam arus pemodenan animasi tempatan.
Sunday, January 24, 2010
Kentang Yang Tak Empuk

Petang tadi, ipar dan biras aku ziarah ke rumah, sambil membawa sebiji kek coklat dan se'baldi' ayam goreng berjenama. Katanya, sempena hari lahir anak kedua mereka. Kami pun turut sama meraikan majlis kecil dan hidangan besar tersebut dengan penuh syukur, maklumlah, hari minggu, malas nak keluar akibat terlalu sibuk sepanjang hari dan sepanjang minggu-minggu yang sebelumnya. Rasanya hari minggu pada hari ini sajalah, tikanya aku tidak terikat dengan aktiviti luar dan ada di rumah sambil melayan anak kedua aku si Najmi yang asyik berak-berak dan sakit perut.
Dalam banyak-banyak hidangan ayam berjenama itu, aku tertarik pada sebekas besar, kentang putar dan sepinggan kentang goreng. Teringat aku pada prinsip atau falsafah yang sering En. Kamn ungkapkan tika kami belajar melukis dan menelaah teknik-teknik animasi pada awal tahun 1994 dahulu.
Katanya, kedatangan kami tak diundang dan tak dialu-alukan, pergi kami tak pula dihalang, dan rajuk kami takkan pula dipujuk. Katanya lagi, kalau mahu bersama dengannya mencipta sejarah dan keunggulan animasi tempatan, maka jadilah kentang yang tak empuk. Kalau jadi kentang yang empuk alamat tak lamalah dalam industri. Kena lenyek. Kena penyek. Mustahil ada kentang yang direbus tapi tak empuk. Aku berkira-kira dalam hati, akan maksud dan telahan yang cuba disampaikan.
Setelah bertahun lamanya, aku seakan sebati dengan falsafah tersebut dan seringkali juga aku mengetengahkannya di bengkel-bengkel dan kelas animasi di merata tempat. Ternyata, ungkapan itu mampu membuatkan ramai diantara kita terdiam dan berfikir sejenak. Maksudnya mudah dan jelas, jadilah seorang yang kuat, tabah dan tak mudah putus asa. Walaupun dilaungkan orang, itu mustahil bahkan bakal ditertawakan. Perjuangan yang maha panjang meruntun penghujung yang menyeronokkan, namun usaha dan tenaga harus dahulu dijaja sebelum untung labanya dikaut ke dalam kantung. Menyingkap liku dan sejarah kami, aku dan kawan-kawan, ternyata bermacam peristiwa terakam dan dinukil. Ada yang kecundang awal, dan ada yang terkecewa lalu merajuk membawa diri. Ada pula kekal beranimasi hingga jalur-jalur putih mula kelihatan dicelahan rambut hitamnya. Dan aku, demikian masih bermain dengan imaginasi dan harapan. Air masih ditambah ke dalam periuk, rebusan akan tetap diteruskan. Masih aku percaya, bahawa aku adalah antara kentang yang tak empuk dalam periuk rebusan En. Kamn itu walaupun telah terpelanting ke periuk bersebelahan dengan api yang lebih kuat.
Selamat merebus kentang, atau pilihlah untuk merebus batu.
Subscribe to:
Posts (Atom)

