Wednesday, March 28, 2007

Kegembiraan Dalam keresahan, Oktober 1996

1 Oktober 1996. Yumi menyambut hari lahirnya bersama kami di studio Kharisma Pictures. Suasana gembira kerana dapat makan-makan, melenyapkan keresahan dek kelewatan gaji pada bulan tersebut. Tengok lah.. masing-masing dengan wajah ceria dan riang menanti saat nak makan kek kat depan tu.
Bulatan dari kiri.. Midin (Allahyarham), Faizal, Ajip, Ateg, Haili, Latip, Aku, Ustat dan Zairi. Yumi di tengah sebelum memotong kek.

Yang ni, tengah tunggu habuan kek.
Bulatan dari kiri, kelihatan Arah, En Kamn, Tok CD, Taugeh, Zairi & Tembakau (duduk), Ah Kim, Anes dan Nozi (kanan sekali)

Amed, Tulang, Yumi, Bacang dan Anes.

Bergambar ramai-ramai selepas selesai majlis. Macam ni la kitorang, ceria memanjang walaupun sedang bergolak dengan pelbagai spekulasi dan konspirasi oleh individu tertentu yang akhirnya menamatkan operasi penerbitan Usop Sontorian 2 bulan selepas itu.

Sejarah dan takdir menyaksikan, pada Januari 1997, wajah-wajah ceria ini telah terpisah dan berpecah ke beberapa studio animasi yang lain, baik yang sedia ada mahupun yang baru ditubuhkan atas perpecahan dan kejatuhan Kharisma Pictures. Aku, Yumi, Jijie, Art, Raja dan ramai juga kawan-kawan menyertai En Kamn di Kharisma Studios, manakala sebahagian yang lain seperti Ciklie, Ustat, Kidol, Sherina, Amed dan beberapa yang lain menyertai Fine Animation. Tembakau, Taugeh, Rambai, Lambok dan Kamel Sagu pula menyertai team Majalah Lanun (Ujang).
Akibat kesukaran mendapatkan slot siaran TV, Kharisma Studios yang baru ditubuhkan terpaksa pula ditutup. Akhirnya En Kamn Ismail mencari peluang dan pemodal baru, lalu menubuhkan pula UAS Animation Studios. Di sini, Aku, Yumi, Jijie, Art, Raja, Ipin, Anes, Awie, Bibi, Asmawi, Apit, Arah, Dan Pak Din, sama-sama menggembeleng tenaga menghasilkan Pilot Siri Keluang Man.




Monday, March 26, 2007

Usop Sontorian Jelajah Antarabangsa

Booth Arief International yang mengedar animasi Usop Sontorian ke seluruh dunia. Foto tahun 1997 di Pameran Dan Jualan Filem dan Penyiaran TV Asia di Hong Kong

Ramai kawan-kawan bertanya apa dah jadi dengan Usop Sontorian? Sayang sekali, kartun yang boleh dibanggakan ini hilang dan menyepi dari arus perdana tv negara kita. Mungkin RTM boleh membuat 'comeback' dengan menayangkannya semula. Generasi kanak-kanak yang lahir pada tahun 1994 ( tahun kelahiran Usop Sontorian ) mungkin tidak pernah menonton animasi ini. Dalam carian aku di internet, tak banyak maklumat yang aku dapat berkenaan Usop Sontorian kini. Tuan punya pemegang Hakcipta nya pula entah kenapa tidak meneruskan siri animasi ini. Tapi apa yang aku tahu Usop Sontorian sedang berlegar, menjelajah dari sebuah negara ke sebuah negara di dunia antarabangsa. Poster dan gambar-gambar ini menceritakan segalanya.


Muka depan poster Adventures Of Usop diedarkan oleh sebuah Agensi Pengedaran Antarabangsa. Arief International.

Muka ke 2 ini, mempunyai penerangan ringkas mengenai siri animasi Usop sontorian yang telah diubah tajuknya kepada Adventures Of Usop.


Lakaran Usop Sontorian oleh UJANG pada tahun 1994.

Selebet. Ayam belaan Usop. Watak sampingan Usop Sontorian ini juga menjadi salah satu tarikan khusus buat penonton. Dalam siri ini, terdapat 2 episod yang menampilkan watak Selebet ini sebagai watak utama. Dalam episod 'Pendekar' Selebet tampil sebagai hero yang menumpaskan ketua lanun dalam mimpi Usop. Dalam episod 'Selebet' pula menceritakan bagaimana seekor ayam kajian terlepas dari pusat kajiannya lalu mencari perlindungan di Kampung Parit Sonto.

Suasana muhibbah antara kaum dalam negara kita menjadi salah satu tarikan Siri Usop Sontorian untuk turut digemari penonton antarabangsa. Ia mencerminkan identiti kepelbagaian kaum di Malaysia. Sekaligus membawa realiti masyarakat kita ke seantero dunia.

Usop, Abu dan Dol mengetengahkan sejenis permainan yang agak mencabar bagi sesetengah kanak-kanak dalam masyarakat dunia. Mencerminkan keberanian dan kecekalan kanak-kanak Melayu.

Kehijauan, kedamaian alam, dan kemesraan persahabatan yang memungkinkan sikap tolong-menolong serta kesetiaan yang tak berbelah bagi, membawa siri ini ke serata dunia. Syabas Ujang, Tahniah Kamn Ismail dan para karyawannya. He he.. salah seorangnya.. Aku la. Tabik untuk Malaysia.

Aku ada juga membaca di blog-blog persendirian yang memberi komen negatif mahupun positif berkenaan kartun Usop ni, membuktikan kehadirannya satu masa dulu telah mencipta sejarah dan fenomenanya sendiri. Inilah rupa kartun Malaysia. Anda sukar menjumpainya kini.

Sunday, March 25, 2007

ANIMASI MALAYSIA PERLU CIRI TEMPATAN

Kamn Ismail -mencipta sejarah dengan Usop Sontorian dan fenomena Keluang Man

Dato' Ahmad Sean (Lensa Filem)

Dato' Lat

En Hassan Muthalib (Presiden Animas)

Ahli Panel Forum "Pembikinan Filem Animasi Senario Tempatan"

Penghasilan beberapa siri dan filem animasi tempatan sekarang ini berupaya menerobos dominasi pengkarya besar Hollywood seperti Walt Disney, Warner Bros, Hallmark dan lain-lain.
Contohnya, karakter animasi tempatan Man Spider karya Ahmad Sean terbitan Lensa Film Sdn. Bhd. berjaya menempa nama di luar negara. Pengarah filem animasi pertama tempatan terbitan Hishani Peninsula, Silat Legenda, Hassan Mutalib berkata, sebenarnya sejarah animasi di negara ini telah bermula sejak tahun 1946. Katanya, pelawak Mat Sentul merupakan animator pertama menggunakan teknik 'still photo' bagi filem Mat Bond. ''Sejarah juga memperlihatkan wayang kulit adalah contoh animasi pertama di dunia yang diiktiraf sebagai teknik 'cut-out animation' iaitu menggunakan 'single frame','' jelasnya. Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas sejarah dan latar belakang animasi tempatan pada ceramah 'Pembikinan Filem Animasi - Senario Tempatan' anjuran Finas, di Hulu Klang, satu masa dahulu. Ahli panel lain ialah kartunis terkenal, Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat, Kamn Ismail dari UAS Animation Studios, Ida Rahayu Mohd. Noor dari Fine Animation, Ahmad Sean daripada Lensa Film Sdn. Bhd. dan animator bebas, Idris Hashim. Menurut Hassan lagi, daripada generasi pertama yang lahir pada tahun 1946, lahirlah generasi baru yang mengetengahkan hasil kerja mereka sedikit demi sedikit seperti animasi yang diterbitkan oleh Filem Negara iaitu Hikayat Sang Kancil. Ia seterusnya membawa kepada adanya sedikit sentuhan animasi menerusi filem-filem cereka tempatan seperti Mekanik, Mat Gelap dan Yess Tuan. Daripada situ, tambahnya lagi, lahir beberapa siri animasi tempatan yang diilhamkan oleh animator generasi baru seperti Usop Sontorian, Yokies, Sang Wira dan sebagainya. Sementara itu, Kamn Ismail pula memfokus animasi yang menggunakan komputer. Beliau berpendapat, komputer banyak membantu menjimatkan masa, tenaga dan wang berbanding dengan penghasilan animasi menerusi lukisan sel atau teknik tradisional. Katanya, dia mengubah tradisi itu dengan membuktikannya menerusi siri animasi Usop Sontorian. ''Komputer digunakan bagi kaedah melukis, mewarna, penyusunan kedudukan visual, rakaman suara, penyatuan animasi dengan latar belakang dan sebagainya,'' ujarnya. Kartunis Lat pula memberitahu, perkara paling penting dalam melahirkan animasi ialah melihat bagaimana karya tersebut memberi kesan kepada penonton. Jelasnya, salah satu cara yang paling mudah ialah dengan menunjukkannya kepada kanak-kanak dan melihat bagaimana penerimaan mereka. ''Apa yang kita mahu ialah kesan 20 tahun akan datang. Sebab itu, subjek yang diketengahkan mestilah bukan topik semasa, sebaliknya bersifat universal yang turut difahami oleh bangsa lain,'' ujar Lat. Lat yang kini mengusahakan siri The Kampung Boy dengan animator dari Filipina dan Amerika, berpendapat, dialog juga adalah perkara penting dalam animasi, selain berpegang teguh kepada adat dan budaya tempatan. Ahmad Sean pula memberitahu, untuk menghasilkan animasi terbaik, animator tidak boleh menjalankan kerja mereka secara sambil lewa. Ini kerana persaingan dari negara lain amat kuat kerana sejarah animasi mereka terlalu jauh berbanding di negara ini. Katanya, syarikat tersebut yang menghasilkan Man Spider sebenarnya telah berdepan dengan pelbagai masalah sewaktu mula berkecimpung dalam bidang ini termasuk kekurangan tenaga, kemahiran, teknik dan peralatan. Sementara itu, Ida Rahayu berkata, syarikatnya telah memasarkan animasi tempatan menerusi pembabitan dalam pasar filem di Hong Kong dan Cannes serta mendapatkan pengedar berpengalaman. Setakat ini, mereka telah berjaya memasarkan Yokies di beberapa negara Arab seperti di Jordan dan Usop Sontorian sendiri.