Tuesday, May 29, 2007

Tok Guru Nik Aziz Dan Filem Animasi



Mockup Majalah Darul Digital Kota Bharu.

Cai, Milo dan Aku di Pameran Animasi dan Pelancaran Pusat Animasi Darul Digital, Kota Bharu Kelantan.

Petikan Dari Web Gema Kota Bharu Bandaraya Islam.


En Kamn menerangkan sesuatu kepada Tuan Guru Menteri Besar Kelantan mengenai animasi PEJUANG, karya dan terbitan beliau yang sedang ditayangkan di TV1- Isnin 7.00malam.

Tuan Guru tertarik dengan galeri foto dan pameran animasi oleh Quest Animations.

Tuan Guru dengan bersungguh-sungguh turut menyumbang idea dan buah fikirannya bagi memantapkan lagi kaedah penceritaan dan mutu penerbitan filem dan animasi tempatan. Beliau turut berterimakasih kepada semua yang membantu merealisasikan pameran tersebut.


KOTA BHARU, 19 Dis (Hrkh) - Kelantan sekali lagi bakal mencipta sejarah dalam bidang seni apabila berhasrat menganjurkan Festival Filem Islam Antarabangsa tahun hadapan sempena program Tahun Melawat Malaysia 2007. Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, diharap festival berkenaan dihadiri penerbit-penerbit filem Islam di peringkat antarabangsa yang sudah lama mencipta nama. Menurutnya, tokoh-tokoh perfileman dunia terutamanya dari Iran akan dijemput menghadiri program berkenaan.
“Dengan adanya pesta filem ini membuktikan kerajaan Kelantan tidak menolak peranan seni lakon dalam usaha mendidik masyarakat, selagi ia tidak bercanggah dengan Islam,” katanya selepas merasmikan pusat animasi terulung di negara ini di KB Mall di sini, hari ini.
Pusat itu dikenali sebagai Pusat Animasi Darul Digital menyediakan kursus jangka pendek bagi melahirkan lebih ramai karyawan dalam bidang berkenaan di negara ini. Penggerak utama projek tersebut iaitu pengarah filem terkenal Dato’ Jamil Sulong dan isterinya Datin Rosnani Jamil. Darul Digital adalah anak syarikat kerajaan negeri di bawah Perbadanan Menteri Besar Kelantan. Tuan Guru Nik Abdul Aziz ketika berucap merasmikan penubuhan Darul Digital berharap filem-filem animasi yang bakal dilahirkan lebih bercorak Islam sehingga ia dapat dipasarkan ke luar negara khususnya negara-negara Islam. Menurutnya, pahlawan Melayu yang menentang penjajah seperti Mat Kilau, Tok Janggut dan ulama terkenal antaranya, Tok Kenali hendaklah digarap semula sejarah hidupnya melalui filem animasi.
“Begitu juga sejarah pejuang-pejuang Islam Salahuddin Alayubi, Iskandar Zulkarnain termasuk saintis Islam juga hendaklah diketengahkan supaya dapat dihayati generasi sekarang,” ujarnya.
Menurutnya bakal karyawan Kelantan tidak mustahil akan menjadi terkenal menerusi filem animasi sekiranya mereka tekun mengikuti kursus yang diadakan.
“Namun apa yang lebih penting setiap karya yang dihasilkan hendaklah berlandaskan Islam agar ia mampu mendidik masyarakat supaya berpegang teguh kepada ajaran Islam.
“Kita berharap Darul Digital dapat membentuk syaksiah remaja di negeri ini sehingga dapat menonjolkan imej yang baik,” katanya. Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato’ Husam Musa berkata, seramai 300 pelajar bakal diambil bagi mengikuti kursus animasi. Katanya, setiap pelajar dikenakan bayaran RM2,500 bagi satu sesi kursus yang mengambil tempoh enam minggu.
Beliau berkata, hasrat Kelantan untuk melahirkan para karyawan menerusi filem animasi akan berjaya sekiranya mereka tekun mendalami kursus yang dipelajari.
“Ada juga yang meminta kursus berkenaan diadakan pada hujung minggu dan Insya-Allah kita akan cuba pertimbangkannya bagi membolehkan lebih ramai peserta mengikuti kursus tersebut.
“Apa yang penting kepada kita rakyat Kelantan mampu menghasilkan filem animasi berimej Islam yang hebat sehingga mampu dieskport ke negara lain,” ujarnya.

Thursday, May 24, 2007

Ziarah Ujang ke Quest Animations

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Semalam, Rabu 6 Jamadil Awwal 1428H, Setelah sekian lamanya berpisah, pengarah animasi dan pencetus watak Usop Sontorian ditemukan dalam suasana mesra yang memungkinkan satu permulaan baru bagi industri kartun animasi kita. Kartunis Ujang yang tiba dengan beberapa botol air minuman menziarahi studio animasi Quest Animations (M) Sdn. Bhd atas undangan rakan lamanya En Kamn Ismail (pengarah animasi Usop Sontorian). Dalam kunjungan tersebut Ujang diberi taklimat ringkas tentang industri animasi semasa, sesi borak-borak, makan-makan, dan beberapa sesi perbualan kelompok dengan kawan-kawan yang dah lama terpisah akibat dari perpecahan Kharisma Pictures sepuluh tahun dulu.
Semalam juga, aku menerima satu lagi kejutan, kali ini menerusi emel oleh seorang yang tak aku kenali. Emel tersebut disertakan dengan sekeping lakaran asal kartunis Ujang seawal 1993, yang dipercayai sebagai salah satu dari siri Model Sheet Usop Sontorian yang aku paparkan dalam posting terdahulu.
Lakaran mimik muka dan aksi tubuh Mak Som bagi episod Meriam Buluh
Aku dan Ujang.
Ujang serius dalam lawak memperkatakan sesuatu kepada En Kamn dan aku.

2 rakan lama bertemu. En Kamn dan Ujang bergambar bersama setelah 14 tahun membawa haluan masing-masing.

lakaran dibawah ini didakwa sebagai lakaran asal En Kamn untuk watak Pak Mat.
Yang ni pulak antara lakaran kartun aku untuk Majalah Gelagat 1995
HEH HEH HEH.

Saturday, May 19, 2007

Lakaran Spek Asal Usop Sontorian Oleh Ujang

Asaalamualaikum Warahmatullhi Wabarakatuh,
Hari ni peti surat aku menerima kunjungan misteri sekeping sampul surat bersaiz a3 tanpa alamat pengirim. Didatangkan dari Melaka kalau boleh aku andaikan melalui pengamatan aku pada 3 keping pelekat kecil bergambar KLIA dengan tanda harga RM1 setiap satu pada sudut kanan sebelah atas sampul tersebut. Padanya juga terpalit dakwat hitam bercorak bulat dengan tulisan melinkunginya dibaca berbunyi 'Pejabat Pos Pengkalan Balak Melaka' bertarikh 16 Mei 2007. Hari Guru! Argh.. dengan keterujaan dan kecelaruan memikirkan apa yang tersembunyi di dalamnya, tak aku sedar, dalam gerimis yang menitik perlahan membasah kepala, jemari aku dengan kasar mengoyak pembukanya. Setitis dua air berkimia barangkali mengenai isi sampul misteri itu. Mak! Apa mimpikah aku? Titik hujan yang mengena kepala mengingatkan aku bahawa aku sesungguhnya masih dalam keadaan sedar membugar. 10 tahun setengah lamanya aku meninggalkan studio Kharisma Pictures di tingkat bawah Plaza Pengkalan itu. Meninggalkan satu nostalgia yang seakan baru semalam berlalu. Kini.., ia memang seperti baru semalam. 12 lembaran di tangan aku adalah bukan lagi mimpi-mimpi yang membuai lena aku. Pantas aku berlari masuk ke rumah sebelum titis hujan merosakkan hadiah misteri daripada seorang yang misteri dari Pengkalan Balak Melaka. Tak sabar rasanya untuk aku berkongsi hadiah ini dengan teman-teman dan kawan-kawan serta para pendukung animasi tanahair. Nikmatilah santapan ini, sama-sama kita ucapkan Selamat Hari Guru pada semua pendidik yang mengenalkan kita pada lapangan animasi ini. Alhamdulillah dan jutaan terimakasih kepada pengirim misteri yang menghadiahkan salinan lakaran-lakaran di bawah ini untuk kita semua.
Usop
Abu
Dol
Abg. Budin
Kak KiahMak Som
Pak Mat PJK

Selebet

Keluarga Ah Tong, Ah Kim Dan Ah Ying Lakaran keyframe animasi Mak Som oleh Ujang -1993 Impian meneruskan Animasi Usop Sontorian sehingga mereka dewasa di sekolah menengah. Hasrat yang tinggal dalam kenangan.

Inilah hadiah aku untuk guru-guru animasi dan kartun yang telah mengenalkan aku dengan dunia animasi ini terutama, En Kamn, Ujang, Semua Senior di Kharisma Pictures, Para Kartunis Majalah Ujang yang asal, Para kartunis Gelagat dan pengarangnya Saudara Amang dan Lolo, seluruh warga karyawan Usop Sontorian 1993-1997 serta sekelian warga karyawan animasi tanahair. Sekali lagi terimakasih untuk pengirim misteri itu, namun lakaran-lakaran di atas bukannya misteri, ianya salinan yang Ori..!

Tuesday, May 15, 2007

Usop Sontorian & Pengiktirafan Antarabangsa

Untuk kali ini, aku malas nak menukil dan menulis panjang-panjang sebab surat-surat di bawah ni pun dah cukup panjang untuk dibaca.



Demikian adanya.

Jelajah Temuduga Seluruh Tanahair

Sebelum aku memulakan Blog ini dulu, selalu juga aku melayan diri dan kehendak dari dalam diri aku untuk cuba-cuba melayari laman maya sebegini sekadar untuk mencari apa-apa juga maklumat berkaitan animasi tanahair kita ini. Malang sekali maklumat berkaitan animasi amat terhad atau boleh juga dikategorikan sebagai tiada. Bukan aku sengaja berfikiran demikian, namun itulah realitinya. Kalau adapun maklumat, boleh dikatakan juga sekadar kulit tanpa isinya. Senang cerita, kalau kita bercadang mencari bahan berkaitan Usop Sontorian, laman maya kita ini hanya sekadar mendorongkan kita ke laman Wikipedia, dan ianya bakal mengundang gundah kecewa kita, kerana maklumat sebaris dua di situ hanya menyatakan bahawa Usop Sontorian adalah animasi bersiri pertama Malaysia. Kadang- kala juga kita dibawa sesat ke laman-laman forum indipendent yang membincangkan, memuji, mengutuk atau mendakwa itu dan ini tanpa fakta yang benar, tepat malahan tidak betul. Pernah sekali, ada pihak dengan berani dan angkuhnya mendakwa bahawa animator Usop Sontorian dilatih oleh mereka, dan animator-animator dari studio merekalah yang telah membangunkan industri animasi Malaysia. Aku sebenarnya malas nak menyanggah mahupun menerima bulat-bulat telahan makhluk-makhluk yang tidak mahu mengenal erti Tawaduk itu, kerana aku juga punya fakta dan maklumat yang agak berguna untuk sama-sama kita fikir, renung dan meneliti dengan penuh rasa rendah diri pada maha Pencipta.

Sedang aku membelek-belek macam-macam dokumen serta lakaran-lakaran lama dalam kotak-kotak berdebu yang dah hilang warna asalnya itu, aku didorong untuk mengambil lembar kekuning-kuningan ini. Maka nikmatilah fakta yang terdapat di dalamnya. Ianya merupakan jadual gerak-kerja Jelajah Seluruh Tanahair bagi mencari bakat-bakat baru dunia lukisan untuk dilatih sebagai pelukis animasi Kharisma Pictures. Inilah caranya Kamn dan Ujang serta sekelian warga Kharisma membentuk organisasinya yang membesar sehingga mempunyai seramai 94 kakitangan pelbagai lapangan dan takah pembikinan animasi. Lihat saja ke segenap ceruk dan daerah dikunjungi En Kamn, Ujang dan Diramawari untuk mendapat dan mengumpulkan pelukis-pelukis anak muda tempatan bagi dihimpunkan menjadi sebuah keluarga yang besar yang akhirnya mempunyai semangat tinggi melangit serta kesetiaan sesama rakan yang tidak berbelah bagi. Sesungguhnya, keakraban itu segar membugar hingga ke hari ini.


Jadual perjalanan dan sesi temuduga ini adalah siri Jelajah ke3 yang dijalankan oleh pengurusan Kharisma Pictures unutuk menambah bilangan ahli keluarga kami pada masa itu. Ini berikutan penerimaan stesen RTM untuk menayangkan animasi Usop Sontorian dalam masa terdekat, maka bilangan tenaga kerja perlu ditingkatkan. Usop Sontorian sesungguhnya telah menghimpunkan ramai pelukis-pelukis berbakat tenaga anak muda dari pelosok dan ceruk rantau negara kita lalu mengenalkan mereka dengan teknologi komputer serta teknologi maklumat yang pada masa itu masih jauh dari jangkauan rakan-rakan sebaya yang masih leka dan lalai dihidangkan dengan kartun-kartun animasi dari luar negara.

Saturday, May 12, 2007

Petikan Dari Blog Tun Siber

* Aku sengaja memetik monolog nukilan rakan aku Tun Siber (Kidol-namanya bagi yang mengenali dengan nama ini). Monolog ini ada sedikit-sebanyak persamaan dengan aku jugak. Kidol inilah juga yang mengenalkan aku pada majalah Gelagat.

"TEMUDUGA DI JALAN IPOH, SATU NOSTALGIA TEGUH"


Bangunan bersusun batu tersergam merah di depan ku. Keratan akhbar yang ku koyak kasar, ku depang sambil membaca butirannya. "Kartunis diperlukan. Berminat? Sila hadiri temuduga di Kharisma Pictures, Plaza Pengkalan Jalan Ipoh. Dan atas sebab itu aku kemari, menjejak kaki dan mencari-cari. Batu 3 Jalan Ipoh ini, benar tidak asing bagi ku. Aku kerap ke sini setiap sabtu, menghantar kartunku ke Majalah Gelagat yang pejabatnya berhadapan dengan Plaza Pengkalan. Hari ini, aku melanggar rutin selalu. Hari ini aku memilih Isnin untuk ke kawasan ini. Dan tujuan ku kali ini untuk memenuhi undangan keratan akhbar tadi(jika boleh saja disebut undangan.). Sedar-sedar aku sudah dilingkung empat penjuru alam. Pengawal Keselamatan yang berlencana Mariapan, menghalakan ibu jarinya ke jentera ini untuk aku ke tingkat atas. Dalam gayat yang sembunyi, aku dikejutkan oleh dentingan Level 13 (mungkin saudara KIdol terkhilaf, sebenarnya level 15. Level 13 memang sengaja ditiadakan oleh tuan punya bangunan atas sebab-sebab yang taknak aku ulas di sini). Pintu menguak lembut. Aku melompat keluar. Sebuah lorong sayup mengalu-alu aku ke hadapan.
Aku membuka persoalan, lorong itu...apakah, lorong kejayaan atau lorong kesengsaraan? Aku keliru..keliru tentang masa hadapan. Haruskah aku terus atau kembali ke kotak lif? Keratan Iklan ku renung dalam. Menari-nari tinta hitam dan berbaur persoalan di cepu fikir.
Aku masih keliru...keliru memilih tuju.

Thursday, May 3, 2007

Bertemu Ujang dan Warga Blog Jibam

Sabtu 28 April 07, Aku sempat mengunjungi sifu Ujang dan warga Blog Jibam di booth CESB, di Pesta Buku Antarabagsa 2007-PWTC.
Aku, Shafiq, Animatot, Tidin dan Ujang.

Sekali dapat bertemu Ujang dan rakan-rakan Blog Jibam ni best jugak. Boleh borak-borak macam-macam hal disamping dapat minum teh tarik yang berharga RM3.00 di PWTC tu..