Sunday, April 8, 2007

Hari Pertama Sebagai Animator ( part 2 )

Logo KHARISMA PICTURES

Kad Nama Aku 1994 ( buat sendiri / kompeni tak provide, ha ha )

04 APRIL 1994 ( 08.10am ) Setelah bersesak-sesak dan penat berdiri dalam Bas Srijaya no273 dari Keramat ke Jalan Raja Muda (Keramat Supermarket) , aku kena pulak berjalan kaki 1 kilometer ke hentian bas Jalan Raja Laut (depan KFC Chowkit). Kena naik bas Selangor takpun Len Seng, no 94. Bas ni ok sikit pasal selalunya aku dapat la duduk. Hari pertama ni penuh dengan kecanggungan. Manakan tidak, dari rumah dah pakai kemas-kemas, siap dengan neck tie lagi, tapi naik bas je. Rasa macam semua orang tak henti-henti pandang kat aku. Malu tu, malu la jugak, tapi naik bangga pun ada jugak. Diorang semua mana tahu aku ni bakal terlibat dalam menempa sejarah animasi malaysia. Ceeewah! . Dari jauh, dengan pandangan bergoyang-goyang dan terhinggut-hinggut mengikut gerakan bas tua itu, aku mula nampak bangunan batu-bata berwarna merah yang setia tersergam indah di hujung sana. Walaupun masih jauh, aku mula bangun dan bersedia untuk menekan loceng berhenti. Aku tak nak peristiwa masa temuduga haritu berulang lagi. Cukuplah sekali aku terlajak sampai ke Kepong nun sebab tertidur dalam bas mini. Kali ni, mesti berhati-hati.

Kamn Ismail 1994

Masa aku masuk ke studio pagi tu, aku tengok En Kamn dah sampai awal dah. Masa tu jam baru pukul 8.30 pagi. Akupun dah makan pagi kat warong belakang Plaza Pengkalan tu. Aku tengok tadi ada jugak 2-3 orang pakai lebih kurang macam aku jugak, tapi tak berani nak tegur, malu-malu lagi. Lepas je makan, terus aku naik lapor diri. Hari pertama yang penuh dengan semangat. Ada 6 orang senior tengah mula on komputer masing-masing. Lepas tu aku kenal diorang tu sebagai En Lie, En Lal, Michael, Simon, En Hamdan dan En Jamal. Tak lama lepas tu, sorang demi sorang budak baru menjelmakan diri. Diorang tu la yang aku jumpa masa makan tadi. Antaranya adalah, Jijie, Abong, Noman, Bobo, dan juga Jau. Aku ditempatkan satu meja banquet dengan Jau. Mamat ni, aku tengok dressing lain macam sikit, baju kemeja kotak-kotak dengan seluar jeans lusuh. Lepas kenal-kenal lebih kurang, baru aku tau, Jau ni rupanya Kartunis Majalah Jenaka. Punyalah seronok dapat jumpa ngan mamat ni, pasal kartun aku pun ada la jugak tersiar di majalah tu sekeping dua. Hari tu, penuh dengan sesi suaikenal aje la.

Ujang 1994

Antara aminator awal Usop Sontorian. Razali dan Lal Ramli.

Penghujung 1994. Dalam gambar adalah, Hamdan, Jamal, Razali, Lal Ramli, Abong, Rambai, Jijie,Ben, Ahha, Shikin, Noman, CikDon, Jau, Yan, (pelatih itm), Matkie, Syam, Kidol, Nuar, AKU, dan Sherina.

Tuesday, April 3, 2007

Cara Kami Buat Animasi

Ni le kira lebih kurang cara aku dan kawan-kawan aku diajar untuk buat naimasi. Mungkin tak sama dengan apa yang korang dah tahu, mungkin jugak sama, ntah aku pun tak tahu, tapi cara macam ni la yang aku belajar sejak tahun 1994 dan terus mempraktikkannya hingga sekarang.


Sunday, April 1, 2007

Hari Pertama Sebagai Animator (part 1)

Foto 1994 : Aku sedang menanti kehadiran Posmen yang membawa surat tawaran dari Kharisma Pictures, setelah menghadiri temuduga 3 bulan sebelum itu. Inilah rutin harian aku setiap hari masa tu.
----------------------------------------------------
4 April 1994. Tarikh keramat. Pada tarikh ini, jam 7.00 pagi, aku melangkah keluar dari rumah Pak Anjang aku di Keramat Permai. Dengan penuh semangat yang berkobar-kobar, aku berjalan pantas menuju ke hentian bas yang jauhnya lebih kurang 1 kilometer. Hari ini adalah hari yang sangat aku tunggu sejak 3 bulan sebelumnya. Hari yang bakal merubah lanskap kehidupan aku. Hari yang bakal mencorak kerjaya aku. Sememangnya ayah aku tak lah setuju sangat dengan pilihan kerja aku tu. Minggu sebelumnya aku baru je dapat surat tawaran masuk ke Program Perintis Petronas di Terengganu. Tapi tarikan pada kerjaya baru ini lebih memberatkan timbang kati pemikiran aku, walaupun tawaran gajinya lebih rendah dari tawaran Petronas itu. (Kami para animator baru ditawarkan gaji RM500 sahaja dalam tempoh latihan asas animasi- janji pihak pengurusan, hanya untuk 3 Bulan kata En Kamn. ) Inilah harinya aku bakal mencorakkan satu jenis kerjaya yang pada masa itu tak la dikenali ramai. Mungkin sesetengah orang sahaja di Malaysia ni mengenali akan kerjaya ini. Itupun mungkin orang di Filem Negara dan juga di Finas. Akupun baru pertama kali tahu menyebut perkataan Animator, itupun setelah mendapat surat tawaran dari Kharisma Pictures 2 hari sebelum itu. Perkataan animasi memang tak disebut orang, walaupun kartun animasi Malaysia sudah ditayangkan di TV 10 tahun sebelum itu. Itulah cerita kancil terbitan Filem Negara. Itulah juga cerita yang membuatkan aku amat teruja dengan tawaran kerja ini. Aku bakal menyertai sekumpulan tenaga-tenaga kreatif untuk menghasilkan animasi bersiri Usop Sontorian. Kerja lukis kartun dengan Ujang, orang kata.(sekali lagi perkataan animasi tenggelam di sebalik perkataan kartun) Walaupun sebenarnya aku bekerja dengan Kamn Ismail di Kharisma Pictures, namun nama Ujang amat sinonim dengan Kartun Usop ni, kerana itu adalah karya terbaru beliau pada masa itu. Sedar-tak sedar aku dah sampai di hentian bas tepi jalan dekat dengan stesen minyak Petronas simpang Keramat, bertentangan dengan Stesen Bas Mara Transnasional. Uiii ramainya orang tengah tunggu bas. Tak lama lepas tu, bas pun sampai.. tapi mak ai.. penuh la pulak. Aku mula berkira-kira dan kepala otak mula memikir macamana aku nak menempuh hari-hari yang sukar macam ni setiap hari….

Sampel Kad Tanda Pengenalan Pekerja 1994